Ahad, 22 Februari 2009

KHADIJAH BINTI KHUWAILID.

Tatkala Nabi SAW mengalami rintangan dan gangguan dari kaum lelaki Quraisy, maka di sampingnya berdiri dua orang wanita. Kedua wanita itu berdiri di belakang da'wah Islamiah, mendukung dan bekerja keras mengabdi kepada pemimpinnya, Muhammad SAW : Khadijah bin Khuwa- ilid dan Fatimah binti Asad. Oleh karena itu Khadijah berhak menjadi wanita terbaik di dunia. Bagaimana tidak menjadi seperti itu, dia adalah Ummul Mu'minin, sebaik-baik isteri dan teladan yang baik bagi mereka yang mengikuti teladannya. Khadijah menyiapkan sebuah rumah yang nyaman bagi Nabi SAW sebelum beliau diangkat menjadi Nabi dan membantunya ketika merenung di Gua Hira'. Khadijah adalah wanita pertama yang beriman kepadanya ketika Nabi SAW berdoa (memohon) kepada Tuhannya. Khadijah adalah sebaik-baik wanita yang menolongnya dengan jiwa, harta dan keluarga. Peri hidupnya harum, kehidupannya penuh dengan kebajikan dan jiwanya sarat dengan kebaikan. Rasulullah SAW bersabda :"Khadijah beriman kepadaku ketika orang-orang ingkar, dia membenarkan aku ketika orang-orang mendustakan dan dia menolongku dengan hartanya ketika orang-orang tidak memberiku apa-apa." Kenapa kita bersusah payah mencari teladan di sana-sini, pada- hal di hadapan kita ada "wanita terbaik di dunia," Khadijah binti Khu- wailid, Ummul Mu'minin yang setia dan taat, yang bergaul secara baik dengan suami dan membantunya di waktu berkhalwat sebelum diangkat men- jadi Nabi dan meneguhkan serta membenarkannya. Khadijah mendahului semua orang dalam beriman kepada risalahnya, dan membantu beliau serta kaum Muslimin dengan jiwa, harta dan keluarga. Maka Allah SWT membalas jasanya terhadap agama dan Nabi-Nya dengan se- baik-baik balasan dan memberinya kesenangan dan kenikmatan di dalam is- tananya, sebagaimana yang diceritakan Nabi SAW, kepadanya pada masa hi- dupnya. Ketika Jibril A.S. datang kepada Nabi SAW, dia berkata :"Wahai, Rasulullah, inilah Khadijah telah datang membawa sebuah wadah berisi kuah dan makanan atau minuman. Apabila dia datang kepadamu, sampaikan salam kepadanya dari Tuhannya dan aku, dan beritahukan kepadanya tentang sebuah rumah di syurga dari mutiara yang tiada keributan di dalamnya dan tidak ada kepayahan." [HR. Bukhari dalam "Fadhaail Ashhaabin Nabi SAW. Imam Adz-Dzahabi berkata :"Keshahihannya telah disepakati."] Bukankah istana ini lebih baik daripada istana-istana di dunia, hai, orang-orang yang terpedaya oleh dunia ? Sayidah Khadijah r.a. adalah wanita pertama yang bergabung dengan rombongan orang Mu'min yang orang pertama yang beriman kepada Allah di bumi sesudah Nabi SAW. Khadijah r.a. membawa panji bersama Rasulullah SAW sejak saat pertama, berjihad dan bekerja keras. Dia habiskan kekayaannya dan memusuhi kaumnya. Dia berdiri di belakang suami dan Nabinya hingga nafas terakhir, dan patut menjadi teladan tertinggi bagi para wanita. Betapa tidak, karena Khadijah r.a. adalah pendukung Nabi SAW sejak awal kenabian. Ar-Ruuhul Amiin telah turun kepadanya pertama kali di sebuah gua di dalam gunung, lalu menyuruhnya membaca ayat- ayat Kitab yang mulia, sesuai yang dikehendaki Allah SWT. Kemudian dia menampakkan diri di jalannya, antara langit dan bumi. Dia tidak menoleh ke kanan maupun ke kiri sehingga Nabi SAW melihatnya, lalu dia berhenti, tidak maju dan tidak mundur. Semua itu terjadi ketika Nabi SAW berada di antara jalan-jalan gunung dalam keadaan kesepian, tiada penghibur, teman, pembantu maupun penolong. Nabi SAW tetap dalam sikap yang demikian itu hingga malaikat meninggalkannya. Kemudian, beliau pergi kepada Khadijah dalam keadaan takut akibat yang didengar dan dilihatnya. Ketika melihatnya, Khadijah berkata :"Dari mana engkau, wahai, Abal Qasim ? Demi Allah, aku telah mengirim beberapa utusan untuk mencarimu hingga mereka tiba di Mekkah, kemudian kembali kepadaku." Maka Rasulullah SAW menceritakan kisahnya kepada Khadijah r.a. Khadijah r.a. berkata :"Gembiralah dan teguhlah, wahai, putera pamanku. Demi Allah yang menguasai nyawaku, sungguh aku berharap engkau menjadi Nabi umat ini." Nabi SAW tidak mendapatkan darinya, kecuali pe- neguhan bagi hatinya, penggembiraan bagi dirinya dan dukungan bagi urusannya. Nabi SAW tidak pernah mendapatkan darinya sesuatu yang menye- dihkan, baik berupa penolakan, pendustaan, ejekan terhadapnya atau peng- hindaran darinya. Akan tetapi Khadijah melapangkan dadanya, melenyapkan kesedihan, mendinginkan hati dan meringankan urusannya. Demikian hendak- nya wanita ideal. Itulah dia, Khadijah r.a., yang Allah SWT telah mengirim salam kepadanya. Maka turunlah Jibril A.S. menyampaikan salam itu kepada Rasul SAW seraya berkata kepadanya :"Sampaikan kepada Khadijah salam dari Tuhan- nya. Kemudian Rasulullah SAW bersabda :"Wahai Khadijah, ini Jibril menyam- paikan salam kepadamu dari Tuhanmu." Maka Khadijah r.a. menjawab :"Allah yang menurunkan salam (kesejahteraan), dari-Nya berasal salam (kesejahte- raan), dan kepada Jibril semoga diberikan salam (kesejahteraan)." Sesungguhnya ia adalah kedudukan yang tidak diperoleh seorang pun di antara para shahabat yang terdahulu dan pertama masuk Islam serta khulafaur rasyidin. Hal itu disebabkan sikap Khadijah r.a. pada saat pertama lebih agung dan lebih besar daripada semua sikap yang mendukung da'wah itu sesudahnya. Sesungguhnya Khadijah r.a. merupakan nikmat Allah yang besar bagi Rasulullah SAW. Khadijah mendampingi Nabi SAW selama seperempat abad, berbuat baik kepadanya di saat beliau gelisah, menolong- nya di waktu-waktu yang sulit, membantunya dalam menyampaikan risalahnya, ikut serta merasakan penderitaan yang pahit pada saat jihad dan menolong- nya dengan jiwa dan hartanya. Rasulullah SAW bersabda :"Khadijah beriman kepadaku ketika orang- orang mengingkari. Dia membenarkan aku ketika orang-orang mendustakan. Dan dia memberikan hartanya kepadaku ketika orang-orang tidak memberiku apa- apa. Allah mengaruniai aku anak darinya dan mengharamkan bagiku anak dari selain dia." [HR. Imam Ahmad dalam "Musnad"-nya, 6/118] Diriwayatkan dalam hadits shahih, dari Abu Hurairah r.a., dia berkata :"Jibril datang kepada Nabi SAW, lalu berkata :"Wahai, Rasulullah, ini Khadijah telah datang membawa sebuah wadah berisi kuah, makanan atau minuman. Apabila dia datang kepadamu, sampaikan kepadanya salam dari Tuhan- nya dan beritahukan kepadanya tentang sebuah rumah di syurga, (terbuat) dari mutiara yang tiada suara ribut di dalamnya dan tiada kepayahan." [Shahih Bukhari, Bab Perkawinan Nabi SAW dengan Khadijah dan Keutamaannya, 1/539]

Jumaat, 20 Februari 2009

AMINA WADUD-ANTARA FAKTA DAN AGENDA TERSEMBUNYI

Oleh : ZAMRI kecik's

Islam sentiasa menjamin hak wanita. Malah Islamlah yang memulakan agenda mertabatkan kedudukan wanita sebagaimana yang boleh kita lihat pada hari ini. Malah ia telah menjadi ’benchmark’ kepada lain-lain pergerakan emansipasi wanita seluruh dunia. Insan yang pertama memeluk Islam adalah seorang wanita dan demikian juga yang pertama syahid di jalan Allah juga adalah wanita. Malangnya, banyak yang buta sejarah kerana tidak didedahkan dengan fakta dan percaya kepada dakyah perosak agama yang menopengkan Islam sebagai pelantarnya.

Antara yang paling berjaya memanipulasikan fakta dan paling digeruni peranannya ketika ini dalam menjahanamkan kemurnian dan kesucian agama adalah gerakan Islam Liberal. Kita juga sudah mula menerima impak yang bakal mencipta sejarah bila NGO Sisters In Islam menjemput Prof. Dr. Aminah Wadud pelopor imam Jumaat wanita pertama datang ke negara ini dan diberikan layanan kelas pertama

Beliau bukan sahaja dijemput, malah diberikan penghormatan menjadi ’Key Speaker’ dalam satu forum bertaraf antarabangsa yang dianjurkan oleh mereka ”Musawah Confrence On Equality And Justice In The Muslim Family” di sebuah hotel bertaraf 5 bintang yakni Prince Hotel di Kuala Lumpur pada 13 hingga 17 Februari, 2009 yang lalu.

Alasan mudah yang mungkin menghalalkan tindakan berkenaan adalah mungkin disebabkan Aminah pernah menjadi tenaga pengajar di negara ini satu waktu dahulu.

Ekoran peristiwa September 11 Islam mula mahu disuntik kononnya dengan nafas baru oleh para penjenayah agama dengan menggunakan individu dan badan NGO Islam yang kononnya melihat pengamalan Islam oleh umatnya dewasa ini adalah berdasarkan kefahaman cetek dan tafsiran dangkal para ulama silam.

Isu GENDER EQUALITY dijadikan sebagai umpan demi meraih sokongan. Kerana ceteknya ilmu agama, sejarah dan peradaban telah mendorong gerakan ini menjadi pujaan sebahagian wanita yang berpendidikan sekular. Sesungguhnya peruntukkan terhadap hak wanita dalam Islam tidak pernah menjadi isu. Kalau ada negara contohnya menafikan hak wanita untuk mengundi dalam pilihan raya, Islam lah yang memberikan hak ini tanpa sebarang halangan seperti yang berlaku di Malaysia dan Iran. Malah sudah muncul ahli politik wanita Islam yang sudah mencapai tahap sebagai Perdana Menteri.

Yang tidak dibenarkan dituntut oleh wanita Muslimah adalah perkara-perkara yang telah menjadi amalan Islam sebagaimana yang diperkenalkan oleh Rasulullah saw, diamalkan dari zaman Baginda sehingga hari ini. Antaranya adalah bahawa Solat Jumaat cuma diwajibkan ke atas umat Islam lelaki kerana itu imam dan khatibnya juga adalah terdiri dari kaum lelaki.

Malangnya, amalan ini kononnya ingin diperbaharui oleh Professor Amina Wadud, yang pada waktu itu adalah seorang profesor Pengajian Islam di Virginia Commonwealth University. Beliau telah telah mengimamkan solat Jumaat (dalam gereja) dengan jemaah sekitar 100 lebih orang yang bercampur gaul lelaki dan wanita.

Mengambil pendapat dari Sheikhul Azhar yang dipetik oleh BBC mengatakan Islam tidak membenarkan wanita menjadi khatib dan imam kepada jemaah yang termasuk kaum lelaki. Kerana solat Jumaat itu sendiri tidak diwajibkan kepada kaum wanita. Kerana itu, peruntukkan hukum berkenaan amatlah jelas dalam hal ini. Soal sama ada Aminah merupakan professor juga tidaklah boleh dijadikan lesen bagi beliau untuk memberikan tafsiran sesuka hatinya dalam hal ini.

Hukum hakam dalam Islam bukan boleh ditafsirkan sesuka hati mengikut fikiran dan akal individu semata-mata. Ia perlu melalui proses yang teliti dan ada prosedur yang perlu dipatuhi termasuklah diperakukan oleh badan yang diiktiraf.

Lebih menjadi kebimbangan berikutan peristiwa ini adalah penerimaan mereka yang kurang jelas pemahaman Islamnya dan memang pula merupakan juara dalam bab-bab memberikan tafsiran yang mengelirukan terhadap Islam seperti yang berlaku pada pertubuhan Sisters in Islam. Sekiranya ia tidak diberi perhatian serius dan dibendung, jangan terkejut perkara ini kelak dituruti secara membuta tuli oleh anggota masyarakat Islam dalam negara kita.

Oleh itu para mufti perlu segera bertindak menyelamatkan maruah dan martabat serta kesucian Islam di negara kita, segerelah bertindak sebelum berlaku perkara tidak di ingini seperti Stadium Bukit Jalil menjadi lokasi solat Jumaat pertama yang diimamkan oleh individu wanita yang terkeliru dalam negara kita.

Tentunya dunia barat yang sememangnya tidak senang dengan Islam akan menaja dan menyokong usaha sesat ini dengan menyatakan bahawa tindakan mereka ini amat terpuji bagi menggambarkan Islam yang lebih sederhana. Sesuai dengan imej negara kita kononnya. Walhal, memang semua perkara ini merekalah perancang dan pendakyah bagi mempastikan umat Islam sentiasa dalam kesesatan dan sentiasa berpecah belah.

Sebagai ahli NGO yang berpelantarkan Islam sebagai motto perjuangannya, saya sebagai Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia mengambil pendekatan tidak mahu bersekongkol, malah menentang serta mengutuk sebarang tindakan yang diambil atas nama agama bagi menghalalkan cara.

Dengan itu, melalui kesempatan ini kami ingin menyeru kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam isu di atas supaya kembali ke pangkal jalan dan tidak menjadikan umat Islam di negara ini sebagai mangsa kepada strategi subersif menjahanam serta memporak perandakan kesucian agama ini melalui tindakan yang tidak matang, tidak mempunyai justifikasi dan tidak berlandaskan amalah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Janganlah menambah lagi ribut terhadap kemelut yang sudah melanda negara kita dengan perkara furuq yang tidak disandarkan kepada sebarang kitab muktabar. Siapalah seorang individu jika dibandingkan dengan ribuan ulama semenjak zaman Rasulullah sehingga kini dan apakah istimewanya beliau dan apakah yang cuba dibuktikan kepada dunia sehingga kita memperjudikan nama Malaysia dengan menjemput wanita sesat berkenaan menjadi juara disanjung dan dipuja.

Khamis, 19 Februari 2009

Khamis, 12 Februari 2009

KUASA SULIT SULTAN?


Terima kasih kepada Prof.Aziz Bari yang pakar itu kerana Sultan mempunyai kuasa sulit. Dalam konteks politik di Perak, maka Sultan menggunakan kuasa sulitnya jadi ia tidak boleh dipertikaikan.

Tulisan ini bukan bertujuan untuk mempertikaikannya, jauh dari memperkecilkannya. Kenyataan seperti ini tidak pernah didengar apatah lagi dihebohkan sedemikian rupa di media.

Selama ini sebagai rakyat marhaen, kita patuh dan taat kepada sistem undang-undang manusia yang mana Sultan adalah ketua pemimpin. Tetapi tidak terlintas Sultan mempunyai kuasa sulit sebegitu.

Dalam cerita melayu dulu-dulu, Sultan mempunyai kuasa sakti, ada berbagai-bagai bentuk samada melalui kerisnya atau melalui selimpangnya. Kuasa sakti itu pula diguna apabila berdepan dengan kesulitan.

Kesulitan atau kekacauan dapat diselesaikan apabila kuasa sulit itu digunakan. Dalam cerita moden orang putih dan Jepun umpamanya. Banyak hero-hero yang mempunyai kuasa sulit. Ia diguna dalam keadaan terdesak saja. Kuasa-kuasa sulit dapat dilihat sebagai api yang keluar dari tangan atau mulut untuk memhembus dan membakar musuh- Cerita Ultraman. Badan boleh bertukar menjadi sasa, gagah dan mempunyai kuasa yang luar biasa dari enjin-enjin ketika tersedar – Incredible Hulk.

Pada satu masa cerita-cerita ini sangat popular di Malaysia. Pernah juga ada kes budak mati terjatuh dari tingkat atas rumah flat kerana cuba terbang menggunakan sayap superman atau meniru gaya spiderman bergayut. Ini contoh yang klasik kuasa-kuasa sulit yang ada ada watak-watak manusia istimewa yang mempunyai kuasa sulit untuk menyelamatkan dirinya dan menyelamatkan manusia lain yang berada dalam keadaan sulit.

Berbalik kepada kuasa sulit sultan, sebagai marhaen kita tidak tahu setakat mana kuasa sulit sultan boleh berperanan untuk membantu rakyat jelata yang marhen. Kita tidak tahu adakah kuasa itu berada di atas undang-undang atau di atas perlembagaan British dulu. Hebat dan kuat macam mana kuasa sulit itu juga tidak tergambarkan.

Sebagai rakyat marhaen, ingin juga lihat supaya kuasa-kuasa sulit itu dikeluarkan sekali-sekala untuk ditunjuk kepada rakyat, paling tidak biar rakyat gerun pada sultan. Ia boleh menimbulkan rasa pada rakyat untuk terus takut, segan serta hormat pada sultan. Mungkin masa zaman penjajah kuasa itu belum ada, kalau tidak sudah tentu ia boleh diguna untuk mengusir penjajah.

Tetapi apa yang dibimbangkan ialah kuasa sulit sultan itu dapat dirasai oleh semua rakyat jelata. Lebih membimbangkan lagi apabila ada pihak yang merasa teraniaya kesan penggunaan kuasa sulit itu. Jika keadaan ini berlaku, adakah sultan-sultan boleh mengeluarkan kuasa sulit mereka untuk menentangnya apabila askar dan polis sudah tidak mampu lagi?.

Cuba lihat Pulau Batu Putih sudah hilang dari peta Malaysia, kenapa Sultan tidak menggunakan kuasa sulit menghalang Pulau Batu Putih dari menjadi milik Singapura?. Bahkan Singapura sendiri terlepas dari peta Malaysia itu pun tidak termampu ditahan oleh apa yang disebut sebagai kuasa sulit sultan.

Setakat ini sudah ada dua benda ajaib yang belum di ketahui oleh UNESCO untuk dijadikan bahan sejarah. Pertama ialah "kontrak sosial" dan kini ke dua ialah "kuasa sulit sultan". Pernah suatu ketika fasilitator BTN di tanya, di manakah dokumen kontrak sosial di simpan?. Fasilitator tersebut jawab ia disimpan dalam bilik kebal di Wisma Putra. Jawapan tersebut ditertawa oleh perserta BTN. Orang zaman sekarang sudah cerdik mereka tidak boleh lagi ditipu tanpa fakta dan bukti.

Kenapa ia disimpan begitu!. Keluarkan biar rakyat jelata tahu dan dapat kesan dari kedua-dua benda ajaib tersebut supaya masyarakat dapat dibentuk untuk hidup harmoni dan aman damai tanpa rasa prejudis antara satu sama lain.

Marhaen bimbang untuk jangkamasa panjang, dua benda ajaib itu tidak boleh diguna sepertimana kegagalannya untuk mempertahankan pulau Singapura dan pulau batu putih dari jatuh ke tangan Negara lain.



oleh : muramatsu,UK / http://www.tranungkite.net/v8/

Rabu, 11 Februari 2009

PENDERHAKA TUDUH NIZAR DERHAKA..

Hampir setiap hari kini kita mendengar media massa yang dikongkong oleh Umno menuduh Dato Seri Nizar Jamaluddin sebagai penderhaka. Laporan polis juga telah dilaporkan dibuat ke atas Nizar .

Inilah politik kotor yang dimainkan oleh parti kotor seperti Umno. Baik dulu, kini dan selamanya Umno sering terjebak dalam politik kotor. Politik orang yang tidak bertamadun dan parti yang tidak bermaruah

Jika Umno tidak diserang penyakit ‘amnesia” ( penyakit mudah lupa ) sudah tentu parti tersebut patutnya merasa malu untuk bermain isu derhaka ini. Kerana apa ? Kerana jika satu jari Umno menuduh Nizar sebagai penderhaka maka empat jari Umno yang lain sebenarnya sedang menuding kepada Umno sendiri sebagai penderhaka "par excellence" ( penderhaka agung ).

Bagaimanakah pemimpin Umno seperti Muhammad Taib boleh dengan tidak malu tumpang sekaki menuduh Nizar sebagai penderhaka sedangkan semua orang tahu beliau adalah “kepala” penderhaka apabila dengan tanpa segan silu sanggup melarikan anak Raja.

Siapakah yang tergila-gila sanggup berarak untuk membawa Tengku Ibrahim dari Kuala Lumpur ke Kota Bahru bagi menggantikan Sultan Kelantan ? Siapa lagi kalau bukan penderhaka Umno. Umno ingat ganti sultan macam ganti jawatan JKK.

Siapakah yang telah mewujudkan krisis Perlembagaan pada tahun 1983 kalau bukan Umno. Kerakusan Umno mempertahankan kuasa telah mendorong Umno mencadangkan satu pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi meminda peruntukkan yang berkaitan dengan kuasa perkenan Yang DiPertuan Agung dan Raja-Raja serta kuasa Yang DiPertuan Agung untuk mengisytiharkan darurat . Pindaan yang dkemukakan pada pertengahan tahun 1983 diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara tetapi Yang DiPertuan Agung enggan menandatangani rang undang-undang Perlembagaan ( pindaan ) tersebut setelah baginda berbincang dengan raja-raja yang lain.

Pindaan Perlembagaan 1983 tersebut bukan sahaja mewujudkan krisis perlembagaan tetapi buat kali pertamanya selepas Merdeka raja-raja dan pemimpin Kerajaan yang dikuasai oleh Umno mengadakan rapat umum untuk menghentam raja-raja. Rapat umum yang dianjurkan oleh Umno telah meletakkan kedudukan raja di pandangan hina di kalangan masyarakat awam.

Tidak cukup menghina raja-raja pada tahun 1983 Umno sekali lagi dengan rakus bertembung dengan raja-raja pada tahun 1990. Pertembungan tersebut berlaku selepas Umno kalah teruk di Kelantan pada Pilihanraya Umum pada tahun 1990. Mana-mana orang yang tidak buta sejarah seperti pemimpin Umno tentu tidak dapat melupakan bagaimana Perhimpunan Agung Umno pada tahun 1991 menyaksikan kritikan-kritikan yang pedas, tajam , kurang ajar dan tidak beradab terhadap raja-raja melayu.

Pihak istana Kelantan dibidas dengan terbuka dan dituduh bertanggungjawab terhadap kekalahan calon-calon BN di tangan calon-calon Angkatan Perpaduan Ummah ( APU ). Bukan sahaja Sultan Kelantan dibidas dengan tajam dan pedas raja-raja lain turut menjadi bahan kritikan dengan pelbagai tuduhan seperti tuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapat kelebihan dan peluang perniagaan , mencampuri hal ehwal pentadbiran dan sebagainya ( lihat Far Eastern Economic Review 28/11/1991 m/s 13 ).

Semasa krisis tersebut juga media-media massa tajaan Umno membangkitkan kembali krisis beberapa orang Sultan dan Menteri Besar Umno seperti yang berlaku di Perak pada tahun 1997 ( Tan Sri Ghazali Jawi yang enggan meletak jawatan apabila diperintah oleh Sultan Perak pada masa itu yang mengakibatkan Sultan enggan bercukur jambang sehingga Menteri Besar tersebut meletakkan jawatan ) dan di Pahang pada tahun 1979 ( Datuk Rahim Abu Bakar ) .

Kalau tidak cukup bukti-bukti di atas yang secara jelas menunjukkan Umno sebagai juara menderhaka kepada raja saya ingin membawa para pembaca pula kepada pindaan Perlembagaan tahun 1993 . Pindaan Perlembagaan tahun 1993 melibatkan isu cubaan Umno untuk menghapuskan imuniti raja-raja. Keputusan Majlis Raja-Raja yang meminta masa untuk mengkaji cadangan pindaan tersebut tidak disenangi oleh Umno. Apa yang berlaku selepas itu seperti mana yang diketahui umum media-media massa yang dikawal oleh Umno, beberapa orang Menteri dan agensi Kerajaan dengan tidak bersopan dan beradab membuat kenyataan dan mendedahkan apa yang didakwa sebagai salah laku raja-raja dan anggota kerabat di raja tertentu. Sekali lagi Umno mengulangi taktik mengaibkan raja-raja sepertimana yang dilakukan semasa krisis Perlembagaan tahun 1983.

Bersandarkan bukti-bukti di atas kini sipenderhaka Umno yang sama dengan tanpa segan silu menuduh Nizar pula sebagai penderhaka. Ya, memang benar Nizar mengakui telah “menyembah sembah derhaka” semasa beliau diminta oleh Yang Mulia Tuanku Sultan untuk mengundur diri daripada jawatan Menteri Besar Perak. Apabila seseorang tidak bersetuju dengan titah sultan menjadi adat dan bahasa istana seseorang akan menyatakan “hamba memohon untuk menyembah sembah derhaka” . "Sembah derhaka" bermaksud tidak bersetuju dalam bahasa rakyat. Di dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Menteri-Menteri Besar saya difahamkan dipanggil "hamba tua" . Ini bahasa istana nak buat macam mana .

Malangnya Umno yang jahil dengan bahasa istana menganggap nizar sebagai derhaka apabila memohon "menyembah sembah derhaka” . Naif dan ceteknya pemikiran Umno.

Nizar memohon menyembah derhaka kepada Yang Mulia Tuanku Sultan kerana beliau berpandangan Sultan tidak mempunyai kuasa memecatnya . Ini kerana berdasarkan Perkara 16 ( 7 ) Perlembagaan Negeri Perak secara jelas memperuntukkan bahawa tidak sepertimana ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri yang memegang jawatan dengan kerelaan sultan ( at his pleasure ) yang membolehkan para exco boleh dilantik dan di pecat oleh Sultan pada bila-bila masa, jawatan Menteri besar adalah berbeza dengan jawatan exco. Dengan lain perkataan jawatan Menteri Besar tidak dipegang di atas keredaan sultan.

Menteri Besar seperti Nizar hanya boleh diminta untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar sekiranya beliau telah tidak lagi mendapat kepercayaan ( ceases command of confidence ) kebanyakan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Perak sepertimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Negeri Perak. Persoalannya bagaimanakah kaedah untuk menentukan seseorang Menteri Besar itu telah tidak lagi mendapat kepercayaan kebanyakan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri menurut perpektif undang-undang ?

Apa yang berlaku pada kes Nizar ini samalah seperti yang berlaku kepada Ketua Menteri Sarawak pada tahun 1966 dahulu. Di dalam kes Stephen Kalong Ningkan lwn Tun Abang Haji Openg & Tawi Sli ( 1966 ) 2 MLJ 187 Mahkamah Tinggi Borneo telah memutuskan bahawa di bawah Perlembagaan Negeri Sarawak ( sama seperti Perlembagaan Negeri Perak ) “ lack of confidence may be demonstrated only by a vote in the Council Negeri “ ( kehilangan kepercayaan hanya boleh ditunjukkan melalui undi tidak percaya di dalam sidang Majlis Negeri ( sama seperti Dewan Undangan Negeri ) )

Oleh itu Nizar mempunyai sebab yang kukuh untuk enggan meletakkan jawatan. Di dalam kes di Perak kekuatan BN dan Pakatan Rakyat sama iaitu 28 kerusi masing-masing. Ketiga-tiga bekas ADUN Pakatan Rakyat hanya menjadi ADUN bebas dan bukannya ADUN BN. Maka isu sama ada ketiga-tiga ADUN berkenaan dikatakan menyokong BN mestilah dibuktikan melalui undi tidak percaya di dalam sidang DUN.

Terdapat keraguan sepertimana yang diakui oleh SPR sama ada ketiga-tiga ADUN ini masih boleh dianggap sebagai ADUN kerana terdapat bukti yang kukuh mereka telah meletakkan jawatan sebagai ADUN sepertimana surat mereka yang telah ditandatangani mereka dan dialamatkan kepada Tuan Speaker.

Berdasarkan Perkara 35 Perlembagaan Negeri Perak surat perletakkan jawatan ketiga-tiga ADUN tersebut adalah sah. Hatta jika terdapat keraguan sekalipun sama ada ketiga-tiga ADUN tersebut masih boleh dikira ADUN atau tidak , badan yang boleh menentukan kelayakan ketiga-tiga ADUN tersebut hanyalah DUN Perak sepertimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 33 ( 1 ) Perlembagaan Negeri Perak yang secara jelas menyatakan “ jikalau berbangkit sebarang masalah adakah seseorang ahli DUN itu tekah kehilangan syarat menjadi ahli, maka keputusan dewan itu hendaklah diambil dan hendaklah muktamad”.

Jelas DUN Negeri Perak dan bukannya SPR yang berhak menentukan sama ada ketiga-tiga ADUN tersebut masih layak sebagai ADUN atau tidak dan keputusan DUN tersebut adalah muktamad. Apa yang malang tatkala Y.M Sultan melantik Menteri Besar yang baru , DUN Perak masih belum lagi memutuskan tentang status kelayakan ketiga-tiga ADUN tersebut. Dalam keadaan tersebut terdapat keraguan yang munasabah sama ada Nizar telah dikatakan hilang keyakinan majoriti ahli-ahli DUN Perak.

Atas dasar itulah Nizar mempunyai asas yang kukuh di sisi undang-undang untuk memohon kepada Tuanku Y.M Sultan untuk “memohon menyembah sembah derhaka” untuk enggan meletakkan jawatan sebagai MB Perak. Malangnya "sembah derhaka" tersebut difahami oleh sipenderhaka UMNO sebagai derhaka.

Ahad, 8 Februari 2009

5 CARA BERSOLEK YANG SUNGGUH ANEH..


Di sebuah pusat bersantai di Hakone, Jepun, ada sebuah kolam air panas yang dicampur aduk susu soya dan kolagen kacang soya yang mempunyai fungsi untuk melicinkan dan memutihkan kulit badan.
Sebuah salun kecantikan kuku di bandar Alexandria, Virginia A.S. menawarkan sejenis perkhidmatan mencantikkan kulit kaki yang istimewa. Pelanggan membenamkan kaki mereka ke dalam sebuah tangki yang diisi dengan ikan kecil. Ikan akan menggigit tisu kulit mati pada permukaan kulit kaki sehingga kulit kaki kelihatan lebih licin.

Sejenis cara untuk mengurangkan berat badan menjadi amat popular di Jepun sekarang ini. Hanya meniup botol air panas pada setiap hari sahaja, badan anda akan menjadi langsing


Geisha di Jepun sentiasa menyapu pewarna yang keterlaluan pada mukanya. Jadi, kulit muka mereka dicemari unsur plumbum yang terkandung dalam kosmetik. Oleh itu, mereka menyapu tahi burung bulbul pada muka mereka untuk menanggalkan sel-sel kulit muka yang sudah mati supaya kulit muka kelihatan lebih bersih.

Rahsia teknik solekan itu kemudian diperkenalkan ke A.S.. Salun kecantikan di New York menawarkan perkhidmatan kecantikan tersebut dengan harga yang mahal.


Di sebuah pusat bersantai di Ada Barak, bahagian utara Israel ditawarkan sejenis perkhidmatan mengurut tubuh yang cukup menakutkan, iaitu menggunakan ular untuk mengurut badan manusia.

Katanya, cara mengurut itu akan membuatkan tubuh badan manusia berasa santai. Sudah tentulah, kesemua "tukang urut" tersebut bukanlah ular yang bersifat racun.

ISU MOHON SEMBAH DERHAKA..

Memohon Sembah Derhaka 1
Nizar Jamaludin telah mencipta ungkapan yang akan menjadi klasik dan akan menjadi renungan. Ia bertali-tali dalam SMS, diulang sebut dalam Facebook dan lain-lain wahana. Apa yang berlaku adalah proses perundingan dan pentakrifan kolektif budaya politik Melayu.

Nizar dititah undur sebagai menteri besar dan menteri besar itu "menyembah mohon derhaka," satu ungkapan yang oxymoron kerana pantang Melayu menderhaka kepada raja. Derhaka dalam erti kata yang mudah adalah tidak patuh kepada raja. Dalam konteks sistem politik dimana sultan memiliki kuasa mutlak derhaka adalah satu perlanggaran yang berat.

Tetapi kita tidak hidup dizaman rex non potest peccare - raja tidak melakukan kesalahan, titah raja adalah hukum dan sentiasa benar. Tetapi kini raja diikat oleh perlembagaan. Nizar melakukan sesuatu yang terdapat dalam peruntukan perlembagaan, negeri Perak, perlembagaan yang sama mengikat Sultan Perak. Maka Nizar tidak derhaka. Tetapi Nizar bercakap dengan Sultan, maka laras bahasanya perlulah mengikut bahasa pertuturan rakyat bercakap dengan Sultan.

Namun betulkah pantang Melayu menderhaka kepada raja?Tun Perak melakukan tindakan yang menderhaka kerana tidak membunuh Hang Tuah seperti yang diarahkan oleh sultan. Hang Tuah difitnah melakukan hubungan sulit dengan salah seorang gundik raja dan bendahara tersebut tahu laksamana itu tidak bersalah dan beliau tahu yang salah adalah sultan yang menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa. Tindakan bendahara menyembunyikan Hang Tuah tidak diketahui sultan sehinggalah baginda memerlukan laksamana tersebut untuk menewaskan Hang Jebat. Sekiranya sultan tahu bendahara tidak melaksanakan hukuman mati tersebut sebelum Hang Jebat memberontak sudah pasti bendahara akan diistihar derhaka dan dihukum mati.

Tetapi tradisi persuratan Melayu tidak mencemoh Tun Perak sebagai derhaka. Bahkan beliau melihat keingkarannya kepada perintah sultan sebagai satu tindakan yang berani dan adil. Berani kerana melakukan sesuatu yang boleh menggadai nyawanya sendiri, dan adil kerana tidak bersekongkol dengan kesilapan dan kezaliman yang dilakukan oleh sultan. Tetapi Tun Perak hidup dizamannya dan dalam sistem zaman itu. Dia tidak boleh "menyembah mohon derhaka".

Memohon Sembah Derhaka 2

Ada tiga bentuk budaya politik Melayu berhubungan dengan kekuasaan. Yang pertama ditujukan oleh Hang Tuah, kesetiaan membuta tuli, menerima raja tidak melakukan kesalahan- rex non potest peccare-, kedua ditampilkan oleh Hang Jebat dengan ungkapan raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah, keadilan mesti ditegakan meskipun langit runtuh. Dan ditengah-tengah kedua kutub pendirian ini kita melihat sikap Tun Perak, orang yang tahu mana yang adil dan mana yang zalim dan untuk menegakan keadilan terdapat cara-cara yang berbeda dan pilihan tersebut menuntut kebijaksanaan.

Tun Perak adalah bendahara kesultanan Melaka yang teragung dan dibawah pemerintahanan Melaka menjadi sebuah empayar yang kaya dan makmur. Tun Perak adalah arkitek kepada pax Malacca satu keteraturan serantau, perdagangan bebas dan kehidupan sosial yang amat kosmopolitan. Di situ juga bermula sistem perundangan dan peraturan, dan tanpa system perundangan dan peraturan ini Melaka tidak boleh wujud sebagai empayar yang makmur dan pusat perdagangan Asia.

Suatu ketika dahulu satu generasi muda mengagung-agungkan penderhakaan Hang Jebat yang berakhir kepada porak peranda di Melaka. Jika kita ingin mengambil perbanding dengan dinamika pergelutan politik dan sosial dizaman Revolusi Perancis kita boleh mengolongkan Hang Jebat sebagai seorang Jacobin, golongan radikal dalam revolusi tersebut yang idealismenya dinodai oleh Reign of Terror yang mereka hasilkan.

Revolusi Perancis selain dari satu pemberontakan sosial dan politik untuk menggantikan rejim lama, Ancien Regime, juga satu revolusi yang didorong oleh idea-idea dari Pencerahan Eropah Benua. Dalam kemelut yang dihasilkan oleh revolusi tersebut berlaku satu perdebatan agong intelektual, antara Edmund Burke dengan Thomas Paine.

Edmund Burke adalah seorang reformis yang amat sedar dengan pemerintahan kuku besi sistem raja multlak. L’etat cest moi-Beta adalah Negara, kata raja Perancis Louis XIV. Maka apabila rakyat bangun menuntut perubahan dan keadilan Edmud Burke pada mulanya mengalu-alukan perkembangan di Perancis tersebut. Tetapi apabila beliau mula melihat revolusi itu telah menghasilkan kekacauan dan terdapat segolong elit England yang ingin memproposikan revolusi tersebut maka dia mengangkat pena dan menulis karya agong Reflections on the Revolution in France. Renungan itu disambut dan disanggah oleh Thomas Paine The Rights of Man yang juga satu karya besar.

Sumber: khalidjaafar.org

MELIHAT KEMBALI NILAI KUASA

Pada bulan Jun 1975 dahulu – ini sejarah – Muhammad Ali Clay dan Joe Bugner telah bertumbuk di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Mereka bertumbuk untuk merebut kuasa – untuk menentukan siapakah penumbuk terbaik dalam dunia. Di akhir pertarungan Muhammad Ali Clay mendapat 2 juta dolar dan Joe Bugner dapat kurang dari 2 juta dolar.

Apa yang berlaku di belakang tirai ialah PERGADUHAN MEREBUT KUASA yang di dalangi oleh dolar.

Lihatlah betapa Kuasa cukup berkuasa. Kuasa adalah adalah besi berani yang dapat menghimpunkan segala jenis manusia dari pelbagai pelusuk. Kuasa adalah Tongkat Ali yang akan menjerut semua wanita dan gadis-gadis yang cun dan bergetah.

Sesiapa yang memiliki Kuasa maka dia akan berkuasa untuk mengumpul dolar, ringgit, dinar, harta dan kekayaan. Harta dan kekayaan adalah gula madu yang juga akan menjemput pelbagai bentuk jenis manusia untuk berkumpul dan sekali lagi tunduk di bawah kuasa.

Justeru apa yang sedang berlaku di Perak minggu ini adalah perebutan kuasa. Meloncat ke hulu meloncat ke hilir. Hilang ke hadapan dan hilang ke belakang. Kejap kata – saya tidak. Kejap kata – ya saya. Semua ini adalah manifestasi perebutan kuasa

Ini bukan perebutan kuasa diantara Muhammad Ali Clay dengan Joe Bugner. Ini perebutan diantara Kuasa Rakyat dengan Kuasa Lama yang telah hilang kuasa.

Kuasa yang di rebut di Perak ialah Kuasa Rakyat. Kuasa Rakyat ini telah terbentuk semenjak 8 March 2008 yang lalu. Rakyat Perak telah memberikan keyakinan mereka kepada kerajaan baru. Apabila Kuasa Rakyat wujud ini bermakna Kuasa Lama wajib di ketepikan.

Siapa dia Kuasa Lama ini ?

Kuasa Lama ini telah lama berkuasa – 50 tahun. Selama 50 tahun melalui kuasa yang dimiliki, Kuasa Lama telah mengumpulkan harta kekayaan. Awalnya dengan menjualkan tanah-tanah untuk di gali segala bijeh timahnya. Kering kontang sawah yang landai. Runtuh rantah bumi yang permai.

Selama 50 tahun Kuasa Lama telah juga mengagih-agihkan hutan hutan dara yang telah wujud berjuta-juta tahun untuk di balaki. Kayu kayan menjadi hasil mashul Kuasa Lama. Berpestalah sesiapa sahaja yang bernaung di bawah Kuasa Lama.

Melalui bijeh dan balak Kuasa Lama telah mengumpul berkoyan-koyan harta dan kekayaan. Dengan harta kekayaan ini maka ramailah ‘semut-semut kampong’ datang berkumpul dan berjoget untuk mendapat sepihan madu dan gula.

Pesta semut berkumpul memakan gula ini berlangsung selama 50 tahun.

Dalam masa yang sama - selama 50 tahun pesta-pestaan ini - banyaklah pula orang-orang kampong yang tidak bertanah. Ada yang telah dinyahkan dari kampong halaman kerana tanah ingin digali. Ada yang kehilangan tanah kerana ada orang kaya ingin membuat projek perumahan.

Hasilnya ramailah orang-orang kampong yang duduk di tanah tetapi mereka tidak memiliki geran tanah. Mereka beranak bercucu di atas tanah tetapi hati mereka selalu sangsi, gundah gulana dan berdebar-debar. Mereka sedar Kuasa Lama memiliki kuasa – bila-bila masa sahaja tanah kediaman mereka akan dirampas kembali. Tanah yang di duduki tanpa geran pastilah tidak membawa keselesaan dan ketenangan untuk anak bini dan keluarga.

Kuasa Rakyat telah mengubah semua ini. Rakyat Perak telah bosan diperlakukan sebagini. Lalu beramai-ramai mereka mendirikan sebuah kerajaan yang berpaksikan kesejahteraan dan kepentingan ramai. Kerajaan baru ini mementing dan mendahului kepentingan ramai dari kepentingan para towkay dan para cukung.

Langkah pertama kerajaan Kuasa Rakyat ini ialah memberi geran-geran kepada orang-orang kampong yang selama 50 tahun ini tidak di pedulikan. Betapalah sukanya hati rakyat Perak yang telah berpuluh puluh tahun menunggu geran.

Inilah bezaya kerajaan Kuasa Rakyat dari kerajaan Kuasa Lama. Kuasa Lama mementingkan dan memilihara para cukung dan kroni untuk mengumpul harta. Kerajaan Kuasa Rakyat untuk kesejahteraan ramai.

Langkah adil kerajaan Kuasa Rakyat ini tidak di senangi oleh Kuasa Lama. Mereka merasakan jika ini berterusan maka kuasa mereka bukan hanya akan lupus di Perak malah di seluruh Malaysia. Ini kerana masih banyak Pak Cik dan Mak Cik peneroka Felda yang telah berpuluh-puluh tahun menunggu tetapi geran tanah mereka masih belum di dalam tangan.

Kuasa Lama tidak mahu dasar tepat dan adil Kerajaan Rakyat di Perak ini akan mempengaruhi dan menjadi contoh untuk beratus ribu lagi rakyat di seluruh negara yang sedang menunggu-nunggu hak geran tanah mereka. Warga Perak akan di jadikan warga contoh - jika inginkan hak tanah maka orang ramai wajib memilih kerajaan Kuasa Rakyat.

Amat saheh Kuasa Lama tidak berpuas hati. Dendam kesumat berkobar-kobar. Lalu mereka memainkan rasa benci orang Melayu terhadap Orang Cina. Kuasa Lama berpropaganda bahawa geran tanah ini di beri kepada Orang Cina. Orang Cina dijadikan alasan untuk menunjukkan bahawa Kuasa Rakyat ini adalah Kuasa Cina. Para pemimpin politik Kuasa Rakyat di Perak di tuduh sebagai ‘hamba Cina’.

Ini TIDAK betul. Data-data dan angka-angka resmi dari Kerajaan Perak menunjukkan Orang Melayulah yang mendapat lebih banyak geran tanah dari Orang Cina. Dalam projek memperbaiki kampong tersusun jumlah Orang Melayu lebih ramai. Pekara ini sengaja di tutup lingkup. Ini kerana Kuasa Lama mahukan Orang Melayu membenci Kuasa Rakyat di Perak.


Prasangka dan sikap perkauman ini wujud. Bukan sahaja di Perak malah di mana sahaja dalam dunia ini. Ianya wujud kerana kita memiliki nilai prasangka. Nilai prasangka wujud kerena kita ‘dididik’ untuk memiliki ‘sikap benci’ terhadap orang lain. Sikap benci ini wujud kerana kita tidak pernah mengenal ‘orang lain ‘ itu.

Selama 50 tahun ini Kuasa Lama telah melahirkan tembok dan pagar agar kita tidak dapat berkenalan rapat antara satu dengan yang lain. Lembaga-lembaga di dirikan bukan untuk merapatkan kita tetapi untuk menjauhkan kita sesama kita. Justeru sikap prasangka semakin menebal. Ini di tambah pula dengan cerita-cerita ‘ bencikan Cina’ yang menjadi peluru berpandu Kuasa Lama untuk menewaskan Kuasa Rakyat.

Kuasa Lama tidak sedar Kuasa Rakyat bukan ‘hamba Cina atau hamba Melayu’. Kuasa Rakyat ialah hamba rakyat. Kuasa Rakyat ialah hamba keadilan dan ketelusan.

Ketika artikle ini di tulis Kerajaan Kuasa Rakyat sedang di asak. Tumbukan datang bertubi-tubi. Ini samalah seperti tumbukan yang di terima oleh Joe Bugner di Stadium Merdeka 30 tahun dahulu.

Tumbukan boleh datang bertalu-talu. Selama 50 tahun – bukan sepuluh pusingan - rakyat menerima tumbukan dari Kuasa Lama. Tumbukan-tumbukan Kuasa Lama telah menghancurkan mimpi, mengkeringkan bumi, memindahkan rumah, menggondolkan hutan dan merosakkan alam.

Rakyat masih lagi berdiri dalam gelanggang. Tidak ada satu kuasa – tidak juga tumbukan Muhammad Ali Clay – yang akan dapat menumbangkan Kuasa Rakyat. Rakyat Perak dan Rakyat Malaysia telah bangun berdiri tegak dalam dalam gelanggang untuk menggunakan kuasa menentukan masa depan anak bini mereka.

Untuk sementara waktu loceng munkin berbunyi. Dolar dan ringgit bertukar tangan. Emas dan Perak bertukar tangan. Hakim mungkin berat sebelah tetapi Rakyat Perak tetap dalam gelanggang. Merekalah yang akhirnya akan menentukan Kuasa Rakyat.(TT)

(Tulisan ini telah disiarkan dalam Harakah)

Jumaat, 6 Februari 2009

Sejarah Parti Islam Semalaysia (PAS

Kejayaan cemerlang PAS dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008 telah meletakkan PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang dilihat oleh rakyat berupaya mengambil alih pemerintahan negara. Semenjak 1990, PAS telah melangkah maju daripada sebuah parti pembangkang yang dianggap ‘ekstrem’ menjadi sebuah parti pemerintah yang moderat dalam melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan semenjak 1990, kemudian ke Terengganu pada 1999 hingga 2004, dan kini PAS mendapat kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor. Di Parlimen juga, PAS telah bangkit dan menguasai 10 peratus daripada kerusi Parlimen atau 25 peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang. Perkembangan ini meletakkan PAS dalam perhatian peminat politik, pengkaji dan juga penyelidik.

Sebenarnya, kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.

Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Ksedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.

Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang ’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai Umno pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan”, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran Umno.

Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.

Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka. Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’ dari matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,

”Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci”2.

Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di negara ini.

Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.

PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.

Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.

Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-Umno pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, Umno pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar ’Membangun Bersama Islam’, PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang kuasana.

Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai politik orang Melayu Islam.

Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang). Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi (1982-1995)5.

1 Burhanuddin al-Helmy (1957), Panduan Jiwa Pergerakan, dlm. Suara Islam, Thn. 2, Bil. 1, Disember.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Malaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.

-Dipetik dari www.parti-pas.org-

-Oleh Jabatan Arkib PAS-

Bubar Dun Perak Beri Peluang Rakyat Memilih


Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebuah parti yang sah berdaftar dan senantiasa mendukung prinsip rukunegara termasuklah prinsip kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang

Kami sepenuhnya percaya bahawa kedudukan kesemua prinsip-prinsip rukunegara ini haruslah dihormati oleh seluruh warga di dalam negara kita ini untuk memastikan keharmonian dan keadilan yang menyeluruh terus terpelihara.

Oleh yang demikian, PAS berpendapat bahawa suasana kekalutan yang sedang berlaku di negeri Perak Darul Ridzuan pada masa kini boleh dielakkan dari menjadi lebih buruk sekiranya prinsip asas yang merujuk kepada undang-undang negeri dan perlembagaan persekutuan dijadikan rujukan.

PAS berpandangan bahawa Menteri Besar (MB) Perak pada masa ini, iaitu Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, hanyalah boleh diturunkan dari kedudukannya sebagai menteri besar menerusi undi tidak percaya yang dilakukan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa ianya bersidang.

PAS yakin bahawa sekiranya permohonan MB untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri diterima, maka suasana yang tegang dan boleh menuju kepada satu krisis perlembagaan boleh dielakkan.

Pembubaran Dun akan membuka ruang kepada rakyat untuk membuat pilihan mereka menerusi satu pilihan raya yang menyeluruh di negeri Perak.

Saya juga ingin meminta kepada seluruh rakyat di negeri Perak khususnya dan seluruh ahli dan penyokong kerajaan Pakatan Rakyat di seluruh negara secara amnya supaya bertenang dan tidak terjebak dalam perangkap provokasi yang mungkin ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu.

Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

SURAT TERBUKA Buat Semua ADUN dan MP PAKATAN


Salam perjuangan saya memula bicara dengan nama Allah swt. Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana .

Buat semua Ahli Dewan Undangan Negeri [ ADUN ] dan Ahli Parlimen [ MP ] PAKATAN RAKYAT .

Tatkala kita bersama memeterai tekad dan keyakinan menyertai perjuangan suci bersama PAKATAN demi memartabatkan nilai kesaksamaan dan keadilan dalam sistem politik negara ini ,

jua membasmi segala kezaliman serta memansukhkan pelbagai penyelewengan dalam dasar pemerintahan negara , sebenarnya kita sedang berada di atas landasan suci yang menjanjikan kita masa depan yang makmur , sentosa dan harmoni .

Malah kita juga telah memberi segunung harapan kepada rakyat untuk mereka keluar membebaskan diri dari perangkap politik tindas dan pemerintahan zalim yang membelenggu mereka sejak sekian lama .

Biarpun tidak semua rakyat memahami dan memberi sokongan kepada perjuangan kita , namun kebersamaan rakyat mengiringi langkah tindak kita membentuk iklim baru dalam monsun politik tanahair . Malah rata - rata rakyat mula mengkaji dan meneliti dasar bahkan hala tuju perjuangan kita .

Alhamdulillah kita telah dikurniakan Allah 4 buah negeri untuk dipimpin atau ditadbir oleh PAKATAN selain Kelantan yang berjaya di pertahankan sejak 18 tahun yang lalu . Satu pencapaian hebat yang mampu digapai dalam waktu yang singkat .

Ya ... satu kurniaan yang menjadi ujian besar kepada kita semua . Apakah kita bersyukur lantas menunaikan tanggungjawab serta amanah sebagai pentadbir dan pemerintah yang baik lagi bertaqwa atau kita kufur lantas kita culas dalam melaksanakan tanggungjawab serta khianat terhadap amanah dan mandat rakyat .

Ujian ini besar dan berat . Hanya mampu ditatang dan digalas oleh mereka yang kuat spiritualnya . Hanya mampu dihadap dan didepani oleh mereka yang tabah serta besar pula jiwanya . Berani , sabar , cekal , bijak , hikmah , mantap dan tahan menghadapi rintangan merupakan antara kriteria yang mesti dimiliki semua kita .

Gopoh , tamak , lemah , takut , malas , culas , pecah amanah dan khianat pula adalah antara dosa atau mazmumah yang mesti dinyahkan dari menguasai diri dan minda kita .

Realiti yang perlu diteliti

Mazmumah adalah musuh seorang pejuang . Ia bagai satu virus yang cepat menyerang dan pantas merebak menguasai setiap sendi saraf lalu melumpuhkannya. Semangat perjuangan yang berkobar - kobar cepat serat dan pudar sejurus dijangkiti virus mazmumah ini .

Sebaliknya , jika kita mampu menyediakan vaksin yang boleh menuetralkan kesan jangkitan virus ini , kita pasti selamat dari menjadi mangsa .

Pastinya vaksin yang saya maksudkan itu ialah taqwa dan taqwa ini pula mampu menghasilkan tindak balas positif yang menjadikan pemilik atau pemakainya hebat dan kuat anti body .

Kita tentu sahaja masih ingat satu pengalaman yang pernah dilalui oleh Kerajaan Negeri Kelantan . Pengalaman memerintah negeri dengan kelebihan 2 kerusi dan kemudiannya satu kerusi dipertengahan musim ekoran kalah dalam pilihanraya kecil Pangkalan Pasir .

Lebih getir situasi dikala itu apabila terdapat satu kerusi yang hanya dimiliki melalui kemenangan tipis iaitu majoriti 2 undi . Kerusi tersebut ialah kerusi yang mewakili DUN Kemuning [ Yb. Zakaria Yaakub ] pada masa itu .

Pelbagai helah dan tindakan nekad UMNO Kelantan untuk mengguling Kerajaan pimpinan YAB Ayahanda Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat . Cara baik atau cara jahat , cara pujuk atau cara ugut telah digunakan oleh UMNO tanpa peduli sebarang implikasi jauh sekali mengambil kira dosa dan neraka .

Berbekalkan kelebihan 1 kerusi , Kerajaan Kelantan terus bertahan hingga tamat musim sebelum menang kembali dengan penguasaan majoriti 2/3 kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan .

Keupayaan dan kemampuan mereka bertahan berhadapan dengan segala ugutan , bujukan , tawaran dan godaan membuktikan mereka memiliki Taqwa yang sukar dilunturkan oleh virus mazmumah .

Saya masih ingat bagaimana ADUN Kemuning yang menjadi wakil rakyat dengan kelebihan 2 undi tidak cair dihadapan setengah juta ringgit yang ditunjukkan secara cash money dihadapannya malah setengah juta ringgit itu akan menjadi miliknya andai ia sanggup menjual diri dan menggadai maruah kepada UMNO dan BN Kelantan bagi membolehkan UMNO menggulingkan Kerajaan negeri Kelantan .

Tawaran setengah juta di tolak ?

Apakah Cikgu Ya tidak tahu menilai betapa harga setengah juta ringgit ? Ya ... seperti kata sahabat karib saya Yb. Ustaz Baihaqi Atiqullah [ ADUN Pasir Tumboh ] , bukan sahaja Yb. Cikgu Ya tidak terpengaruh dengan tawaran lumayan itu , tetapi juga seluruh wakil rakyat Kerajaan [ sekarang PAKATAN ] tidak betah untuk digoda sehingga UMNO kehilangan aqal dalam mencongak strategi dan keciciran budi dalam mengolah bakti .

Sekalung tahniah buat semua wakil rakyat PAKATAN di negeri Kelantan yang tahu harga dan nilai diri bukan boleh ditanda dengan mata wang dunia .

Sikap dan sifat beginilah yang mesti wujud dalam setiap jiwa ADUN dan MP PAKATAN . Apa yang berlaku di Perak adalah suatu yang cukup dikesali . Meranapkan harapan rakyat melalui satu pengkhianatan dan sandiwara politik murahan yang memualkan .

Bayangkanlah , betapa sukar pula kita mahu membina keyakinan dalam jiwa rakyat agar menyerahkan mandat pengurusan dan pentadbiran negeri atau negara kepada PAKATAN apabila dilihat ADUN dan MP dari PAKATAN tidak lekat unjak atau kuat cacangnya .

Ingatlah , kita menyertai perjuangan ini bukan untuk bermain politik bagi memperlihatkan kelicikan strategi dan kehebatan pengaruh , tetapi satu penyertaan yang menyandang matlamat suci . Matlamat melahirkan sebuah negara yang aman , makmur dan harmoni . Melahirkan Negara yang bebas rasuah , bebas mungkar , bebas jenayah , bebas penyelewengan dan salah guna kuasa .

Matlamat yang memerlukan pengorbanan dari kita semua bukan pengkhianatan yang kelak dikutuk malah dilaknat oleh seluruh generasi . Jangan sampai muka diludah anak sendiri atau kubur dikencing oleh waris sendiri . Semuanya bermula dari episode sebuah pengkhianatan .

Iklim politik negara amnya dan Perak khasnya hari ini diburukkan oleh pengkhianat yang tidak bermaruah . Harga diri boleh dilelong ke sana sini . Hari ini di pasar borong Selayang dan lusanya kelihatan bergayut pula di pusat lelongan pasar borong Gombak .

Cukup jijik dan meloyakan . Cukup tidak bermaruah dan tiada aras nilai pada diri . Segalanya kerana harta dan pangkat . Kerana hubbud dunya wa karaahiyatul maut .

Isnin, 2 Februari 2009

DARI TEL AVIV KE WASHINGTON(untuk para mujahhid yang terbunuh berperang)

Dari Tel Aviv ke Washington
Sebuah bisikan:
" Serangan dari udara."
"Silakan ! ".

Dari Tel Aviv ke London
Sebuah pesan:
"Tembakan meriam dari lautan.
"O.K. ! "

Dari Tel Aviv ke Paris
Sehelai nota:
" Bedilan meriam kereta kebal di daratan."
"Oui ! ".

Dari Tel Aviv ke Paris, ke London dan Washington
Seribu konspirasi, pura-pura dan dustaText Colour
Terkeliru dunia, tersihir kita dengan kata-kata.

Kemanusiaan itu unutk yang bersenjata
Kehidupan itu untuk Barat yang perkasa.

Kalau warna kulitmu sawo matang
Kalau kulitmu kuning atau hitam
Darah yang mengalir di bawahnya tak berharga
Warnanya bukan merah, tetapi peduli apa
Lebih murah daripada tinta tanda tangan Presiden Amerika
Untuk membasuh dosa-dosa Zionis Israel
Yang menembak ibu-ibu dan anak-anak di kepala.

Darah yang kering di butir-butir pasir dan permukaan bumi
Jadi saksi manusia waja bertahan di buminya sendiri
Hanya doa dan dinding-dinding batu tempat berkubu
Kematian, bukanlah kekalahan yang abadi
Percayalah,
Di sana ada syurga yang sedang menanti.
Amin ! Amin.

bAHAzAIN
12 jANUARI 2009

MUHASABAH DIRI

Pertama, ialah ikhlas dengan Allah. Apa-apa perbuatan, pekerjaan hendaklah dibuat dengan niat yang betul dan ikhlas kerana Allah. Jangan peduli apa yang orang bilang kepada kita.

Kedua, redha dengan apa yang Allah turunkan atau ujian ke atas diri kita. Jangan persoalkan dan merunggut kerana sesuatu yang Allah turunkan/uji itu ada hikmah-hikmah yang tidak mudah kita fahami. Atas ujian itu bukan menunjukkan Allah zalim, sebab Allah tidak zalim kepada sesiapa pun. Ujian juga kalau tahu menerimanya ia merupakan pahala percuma dari Allah untuk seseorang.

Ketiga, berlapang dada, jangan persulitkan masalah. Setiap masalah hendaklah dianggap sebagai ujian dan jangan terbelenggu dengannya. Masalah bukan bahaya, tetapi yang bahanya ialah bagaimana menangani masalah itu. Begitu juga dengan rezeki, jangan bimbang dengan rezeki sebab semua rezeki untuk makhlukNya dijamin olehNya.

Keempat, tahu mengatur diri dalam berhadapan dengan masalah atau ujian Allah. Tidak perlu panik terhadap sesuatu musibah yang menimpa diri. Kena menerimanya dengan hati yang lapang dan tenang.

Kelima, yakin kepada Allah. Jangan menyerahkan diri kepada mana-mana kuasa tetapi serahlah kepada Allah. Allah tahu menguruskan kehidupan kita. Allah akan memenuhi janji-janjiNya kepada semua manusia. Di samping itu kita perlu banyak bertaubat dan memohon keampunan Allah s.w.t.